Thursday, August 27, 2015

myBAS Dengan Rasminya Beroperasi

Pada 1hb Ogos lalu, perkhidmatan bas henti-henti dengan nama "myBAS" telah diperkenalkan dan mula beroperasi di Kangar, Perlis. Sebanyak 24 bas yang dikendalikan oleh syarikat Mara Liner serta syarikat City Liner melibatkan 15 buah laluan di negeri Perlis.

Sebanyak lebih dari 160 buah pondok bas dan papan tanda tempat menunggu bas di laluan myBAS disediakan bagi menampung kehendak dan memudahkan pergerakan orang ramai sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dalam bandar tersebut.

Satu majlis merasmikan pelancaran perkhidmatan myBAS pertama di bawah skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti telah diadakan baru-baru ini di Kangar pada 25hb Ogos dan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis; Datuk Seri Azlan Man. Majlis turut dihadiri kenamaan lain dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dato' Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

Perkhidmatan bas henti-henti MyBas ini menge­nakan harga tambang berpatutan termasuk diskaun separuh harga untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan juga pelajar sekolah dan diharapkan tidak mengecewakan rak­yat negeri ini dengan memberikan perkhidmatan terbaik, yang mana kejayaannya nanti SPAD boleh mendapat peruntukan yang lebih lagi daripada Kementerian Kewangan pada masa depan.


Penumpang dikenakan tambang serendah 90 sen sehingga RM4.40 untuk perjalanan sehala. Memandangkan projek ini dilaksanakan menerusi Tabung Dana Pengangkutan Awam dari Kementerian Kewangan, maka tiada program perkhidmatan percuma diberikan, menurut kata Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar. 

SPAD me­nerima peruntukan dana berjumlah RM470 juta bagi menghidupkan semula perkhidmatan bas henti-henti di beberapa buah negeri termasuk Perlis. Transformasi dalam perkhidmatan awam ini diharap mengembalikan keyakinan rakyat di negara ini untuk memilih sama ada bas henti-henti myBas, bas perantara mahupun perkhidmatan tren elektrik (ETS) sebagai pilihan untuk bergerak. 

Perkhidmatan myBAS ini menawarkan liputan yang lebih luas di Kangar dengan jumlah jarak laluan sebanyak 337 km, yang merupakan peningkatan daripada 124 km sebelum ini. Ianya menyediakan akses yang lebih baik kepada masyarakat bandar dan luar bandar dengan pelaksanaan di 5 laluan utama dan 10 laluan perantara.


Bagi sesetengah laluan, kekerapannya ditingkatkan ke dua kali ganda, manakala waktu operasi laluan utama telah dilanjutkan sehingga jam 9.00 malam. Ini termasuklah perkhidmatan di laluan utama dari Kangar ke Arau yang akan beroperasi pada frekuensi setiap 30 minit.

Jalan-jalan utama lain termasuk Kangar-Padang Besar, Kangar-Beseri-Arau, Kangar-Ayer Itam dan Kangar-Kuala Perlis-Kg. Wai. Laluan pengantara termasuk: Kangar-Kg. PanggauKangar, Arau-Pauh Putra-Felda Chuping, Arau-Guar Nangka-Felda Chuping, Beseri-Kg. Jejawi-Beseri, Beseri-UiTM Arau-Arau, Arau-Kilang Gula, Arau-Kuala Sg. Baru dan Kaki BukitWang Kelian. Dua perkhidmatan pengantara tambahan dari bandar Kangar juga disediakan (menuju ke utara dan selatan).

Perkhidmatan khas pada hujung minggu juga disediakan bagi destinasi ke Wang Kelian dan Hutan Lipur Bukit Ayer. Rangkaian myBAS ini, bersama-sama dengan perkhidmatan ETS baru oleh KTMB untuk ke Arau dan Padang Besar akan memberikan integrasi pengangkutan awam yang lebih baik secara keseluruhan di Perlis. 

Langkah yang diambil SPAD memperkenalkan myBas amat bertepatan kerana dapat membantu menyumbang kepada kemajuan sosio-ekonomi rakyat menerusi sistem pengangkutan awam yang dinaik taraf secara langsung.

Berikut adalah kenyataan media SPAD:

No comments:

Post a Comment