Wednesday, December 16, 2015

Plastik Mesra Alam Pertama Dunia oleh FGV

Hari ini, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) diberitakan telah memeterai satu perjanjian persefahaman (MOU) dengan Newlight Technologies LLC serta Innogas Technologies Sdn Bhd bagi menghasilkan plastik mesra alam daripada sisa biojisim minyak sawit di Malaysia. 

Newlight Technologies adalah merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di California, dan berkemahiran di dalam menghasilkan bahan-bahan termoplastik yang diperbuat daripada gas rumah hijau serta udara. Manakala, Innogas Technologies pula berpangkalan di Malaysia, terlibat dalam perniagaan perundingan, kejuruteraan loji memproses dan teknologi untuk bahan kimia serta tenaga yang boleh diperbaharui. 
“Projek biojisim yang lestari ini bertujuan untuk mempelbagaikan dan seterusnya membangunkan aliran pendapatan syarikat yang baharu, sejajar dengan teras dalam strategi transformasi syarikat selama lima tahun bagi peningkatan hasil,” kata FGV dalam satu kenyataannya hari ini. 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata sebagai sebahagian daripada komitmen FGV untuk kelestarian, ia sentiasa mencari cara-cara inovatif untuk menguruskan sisa kelapa sawit dengan berkesan. 

“Projek sisa kepada kekayaan akan meningkatkan standard kelestarian industri minyak sawit di Malaysia dan rantau ini secara keseluruhannya, sekaligus mengurangkan pelepasan karbon,” katanya. 

Projek itu dijangka bermula pada suku kedua 2016 dengan pembinaan kilang pertamanya dibuat pada suku keempat tahun depan dan dijangka siap selepas 14 bulan. Di dalam jangkaan lima tahun, ia akan diperluaskan kepada 10 kilang minyak sawit syarikat. 

Mohd Emir menambah persefahaman ini akan membawa teknologi kos efektif yang pertama di dunia bagi menghasilkan plastik mesra alam dengan memproses 100 peratus sisa bio daripada kilang minyak sawit FGV.

No comments:

Post a Comment