Wednesday, December 16, 2015

Salahkan SPAD Mudah Dari Jelaskan Fakta Sebenar

Tambang teksi naik. Tambang bas turut naik. Tambang Keretapi naik. Konsesi tol pun tidak jauh dibelakang. Rata-rata, rakyat Malaysia mengalami situasi yang tidak selesa. Malah seperti biasa, apabila berlaku kenaikan ke atas kadar perkhidmatan pengangkutan awam, agensi yang tidak lekang dari dituduh sebagai merestui kenaikan adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Begitulah sikap dan sifat menuding jari kesalahan kepada sesiapa atau mana-mana agensi. Malangnya keputusan atau perbincangan sebelum mana-mana kenaikan atau agenda melibatkan kemudahan rakyat dibuat dengan kehadiran pemimpin-pemimpin negara, khususnya oleh Menteri-menteri di dalam Kabinet Malaysia.

Sikap sedemikian juga anihnya, disemarakkan lagi oleh beberapa ahli politikus kepartian yang dilihat menangguk di air keruh tanpa meniti kebenaran dan berlandaskan fakta yang sahih, menyalahkan SPAD dengan kenaikan tambang ERL, LRT, MRT malah komuter. 
SPAD diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri yang bertanggungjawab ke atasnya adalah Yang Berhormat Hajah Nancy Shukri (BN; Batang Sadong). Inikan pula dengan tanggapan negatif yang dibuat terhadap SPAD memandai-mandai membuat keputusan sedangkan sebaliknya menerima arahan daripada Kabinet.

Perlu dijelaskan sejarah SPAD dan matlamatnya di dalam pembangunan negara dan rakyatnya.

Fungsi utama SPAD adalah untuk merancang dan membuat polisi serta mengawalselia pengangkutan awam darat di negara ini seperti keretapi, bus dan teksi serta pengangkutan barang yang menggunakan jalan raya atau rel keretapi.

Suruhanjaya ini turut menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang dijalankan oleh Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

SPAD memainkan peranan penting di dalam usaha membaikpulih perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia, yang mana usaha ini salah satu agenda Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pengangkutan awam bandar seperti yang digariskan di dalam Pelan Transformasi Kerajaan, yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

SPAD ditubuhkan pada 3hb Jun 2010, setelah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dengan kuasa mutlak di dalam pemberian dan pembatalan lesen perdagangan berakhir pada 1hb Jun 2010. Akta SPAD 2010 telah digubal dan diluluskan oleh kedua-dua dewan di dalam mendepani kemelut pengangkutan awam yang telah berpuluh tahun menghantui sektor pengangkutan awam; agar lebih selamat, terancang, bersepadu dan kos yang berpatutan dikenakan.

Pengangkutan awam darat dilihat sebagai antara pemboleh ubah yang amat penting dalam ekonomi sesebuah negara kerana ia menjadi penentu kepada kelancaran pelbagai kegiatan dalam dan luar bandar yang boleh menjana pendapatan. Sistem pengangkutan awam yang cekap membolehkan kelancaran "mobiliti" pekerja sampai di tempat kerja pada masa yang tepat, membolehkan kegiatan di tempat kerja berjalan seperti yang dirancang. Dari sudut sosial dan psikologi pula, pengangkutan awam yang berkualiti tinggi membolehkan orang ramai yang bergantung kepadanya membuat perjalanan dengan mudah, menjimatkan wang, mengurangkan stres, serta merancang perjalanan sendiri dan ahli keluarga supaya sampai ke destinasi tanpa kelewatan. 

Bagaimanapun, realiti yang ada menunjukkan bahawa pengangkutan awam negara kita masih berada di takuk lama. Kita mempunyai jaringan lebuh raya dan lapangan terbang antara yang terbaik di dunia, tetapi sistem pengangkutan awam bandar dan luar bandar kita masih di tahap Dunia Ketiga dari segi kualiti perkhidmatannya. 

Dari segi infrastruktur, kita boleh berbangga kerana mempunyai sistem multimodal seperti LRT, ERL, Monorel, Komuter dan RapidKL, tetapi sistem yang pelbagai ini tidak menjamin mobiliti orang awam berjalan lancar. Persoalan pengangkutan awam darat khususnya dalam bandar di negara ini masih banyak yang belum menemui titik jawapannya...di sinilah peranan SPAD teruji di dalam mensepadukan rangkaian perkhidmatan awam darat dari kota ke pedalaman. 

Setiap minggu kita berhadapan dengan rungutan orang ramai tentang masa menunggu bas yang lama, bas tidak datang seperti yang dijadualkan, teksi yang tidak menggunakan meter dan hanya mahu pergi ke destinasi jauh, tak dapat duduk dalam LRT sebab penumpang padat bak ikan sardin dalam tin, tren KTM Komuter yang bergerak macam kura-kura dan mati enjin berkali-kali dalam perjalanan, dan bas yang comot, panas sebab tiada pendingin udara, enjin berbunyi bising dan ekzos yang memuntahkan asap hitam sepanjang perjalanan. 

Di luar bandar, keadaan lebih teruk dengan perkhidmatan bas yang lama, buruk dan tersengut-sengut. Purata masa menunggu bas di hentian tepi jalan melebihi setengah jam adalah normal, dengan kepanasan dalam bas kerana sistem pendingin hawa rosak atau tidak mempunyai sistem hawa dingin langsung adalah perkara biasa.

Sesungguhnya perlantikan Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar sebagai Pengerusi SPAD sejak penubuhan SPAD, adalah bertepatan melihatkan latar belakang beliau yang mesra dengan pengguna malah oleh rakyat, di sebalik kata-kata nakal terhadapnya. 

Tan Sri Syed Hamid berkelulusan undang-undang dari Inns of Court, London pada 1970 dengan  Ijazah Undang-Undang (Degree of an Utter Barrister) dari Middle Temple. Telah menjawat jawatan seorang Majistret dan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen sebelum beralih ke dunia korporat. Tatkala itu, beliau kembali ke bidang guaman sebelum menceburkan diri di dalam dunia kepolitikan di Malaysia. 

Pada tahun 1990 setelah memenangi kerusi di Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1986, Tan Sri telah dilantik sebagai Menteri Perundangan sebelum dilantik sebagai Menteri Pertahan pada tahun 1995. Menteri Luar Negara pada tahun 1999 dan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2008. Berdasarkan "political background" ini mengesahkan Tan Sri sebagai seorang yang berkaliber dan telah berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri sekaligus membuktikan beliau seorang yang bertanggungjawab dan cemerlang dengan interaksi bersama orang awam sepanjang perkhidmatannya itu.
Harus diingatkan, jawatan yang disandang Tan Sri merupakan satu amanah berdasarkan prestasi cemerlang beliau yang dilihat mampu meneraju SPAD oleh Perdana Menteri untuk memenuhi kehendak yang telah dipamirkan sebelum ini mencetuskan perubahan yang berkesan dan efektif demi keselesaan mobiliti rakyat di era serba pantas dan serba mencabarkan masa kini. 

Seperkara yang tidak boleh dinafikan, perjanjian di dalam isu kenaikan tambang pengangkutan awam telah dibincangkan tentu arasnya di dalam Kabinet di dalam perjanjian yang dibuat mereka bersama syarikat atau pengendali perkhidmatan. SPAD hanya sebuah agensi perlaksana di dalam memastikan kelancaran perkhidmatan di samping mencari kaedah penambahbaik dan kawal selia.
Perlu diingat juga, pihak Kerajaan terpaksa menaikkan kadar tambang pengangkutan awam tanpa membebankan wang rakyat di dalam memastikan mereka mendapat perkhidmatan yang terbaik di dalam meyediakan prasarana pembangunan. Contohnya, kenaikan tambang ERL Express daripada RM35 kepada RM55 disebabkan Kerajaan tidak mahu membayar pampasan sebanyak RM2.6 billion akibat perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1997. 

Maka melihatkan sikap dan perbuatan mereka pantas membuat anggapan tidak berhemah dan menjadikan SPAD ibarat "punching bag' adalah sesuatu amalan yang tidak bertanggungjawab dan mensyukuri nikmat dan penggorbanan yang telah disumbangkan oleh SPAD atau mana-mana individu di dalam kecemerlangan industri pengangkutan awam.

No comments:

Post a Comment