Wednesday, December 02, 2015

TAHNIAH!!! Malaysia Ahli Majlis IMO Kali Ke 6

Pada 25hb November yang lalu, satu delegasi dari Malaysia telah dipimpin YB Dato' Seri Liow Tiong Lai ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi sesi ke 29 yang telah diadakan di ibu pejabat majlis itu di London, United Kingdom.

Perhimpunan Agung yang diadakan sekali setiap dua tahun itu turut dihadiri oleh menteri-menteri pengangkutan dan pegawai-pegawai kanan maritim dari negara-negara anggota IMO dan secara langsungnya bertujuan melantik 40 ahli Majlis IMO bagi penggal tahun 2016-2017.

Merujuk kepada http://darikacamatarakyat.blogspot.my/2015/11/pelan-induk-perkapalan-akan-ke-kabinet.html yang menyentuh tentang Pelan Induk Perkapalan Malaysia (Malaysian Strategic Maritime Plans (MSMP) seperti mana yang diumumkan di dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Maritim Sedunia 2015 peringkat kebangsaan yang diadakan pada 30hb Oktober lalu, tidak dapat disangkal lagi, Malaysia serius penglibatannya di dalam bidang maritim dan perkapalan antarbangsa.
Kedudukan geografi Malaysia di pusat Asia dan berada di tengah-tengah dua laluan perairan yang terpenting di dunia; Laut China Selatan dan Selat Melaka, secara langsung sebagai sebuah negara maritim dan perkapalan antarabangsa memainkan peranan yang penting kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebahagian besar perdagangan antarabangsa Malaysia dikendalikan merentasi lautan ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan yang dibuat Dato' Seri Liow, "Sebagai sebuah negara pelayaran dengan kepentingan besar dalam pengangkutan laut, Malaysia komited untuk penyertaan aktif dalam IMO. Selat Melaka merupakan saluran penting bagi perkapalan antarabangsa dan salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia dengan lebih daripada 25 peratus daripada perdagangan global diangkut dan lebih 80,000 kapal yang singgah setiap tahun."

"Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan Selat Melaka dan perlindungan alam sekitar marin. Kini Malaysia telah menduduki tempat 30 teratas dari segi armada perkapalan antarabangsa dengan 7,160,000 tonnage dengan lebih daripada 50,000 pelaut. Malaysia juga mempunyai beberapa pelabuhan utama yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, pengendalian sejumlah lebih daripada 500 juta tan kargo. Malah, dua pelabuhan negara secara konsisten menduduki antara 20 pelabuhan paling sibuk di dunia." tambah Liow.
YB Dato' Seri Liow sempat bertemu Koji Sekimizu, Setiausaha Agung IMO 
di Ibupejabat IMO, London (26hb Nov 2015)

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (Internationational Maritime Oganization) ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1948 sebagai agensi yang menetapkan piawaian global keselamatan industri perkapalan, prestasi alam sekitar perkapalan antarabangsa. Ia turut bertanggungjawab merangka dan mengawalselia secara adil dan efektif bagi industri perkapalan dengan matlamat memastikan penghantaran selamat, selamat dan cekap di lautan secara menyeluruh.

Malaysia telah menyertai IMO sejak tahun 1071, dan dianggotai oleh lebih daripada 171 buah negara seluruh dunia dengan 3 Ahli Bersekutu. Di atas hasil usaha Dato' Seri Liow dan keyakinan negara ahli yang lain, Malaysia untuk kali ke 6 telah dipilih dan diberi penghormatan sebagai Ahli Majlis Pertubuhan IMO bagi penggal tahun 2016-2017.

Tahniah! Tahniah! Tahniah! Perairan Malaysia yang sangat penting terutamanya Selat Melaka, nyata menjadi satu peranan utama penglibatan Malaysia di dalam IMO.

No comments:

Post a Comment