Saturday, November 26, 2016

Sandiwara RUU Penternakan Babi 2016 (Pulau Pinang)

Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ditangguhkan awal pagi tadi yang bermula sejak 15hb November 2016 telah menjawab 76 soalan lisan dan 634 soalan bertulis yang dikemukakan. Sebanyak dua usul tergempar dan dua rang undang-undang diluluskan.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri, Dr Afif Bahardin (PKR-Seberang Jaya) merupakan individu yang ‘tersohor’ apabila dalam satu usul tergempar beliau bertikam lidah dengan Datuk Hj Roslan Saidin, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pinang Tunggal mengheret dan mencemuh UMNO dalam membela Maria Chin. 

Lebih mengejutkan lagi, Dr. Afif telah membentang dan diluluskan Rang Undang-Undang Penternakan Babi 2016 Pulau Pinang tanpa sokongan dari ADUN Barisan Nasional. Apakah motif sebenar enakmen diluluskan? Perkara yang mencabar martabat Islam dan umat Melayu serta kepentingan awam, sebagai mengenepikan keperluan rakyat Pulau Pinang dan kekalutan kepimpinan Kerajaan Negeri. 

Afif berkata, kaedah yang digunapakai di dalam penternakan tradisional masakini telah menyebabkan pencemaran alam sekitar. Turut juga menimbulkan isu keselamatan penyalahgunaan ubat-ubatn terlarang? Tambahan pula ia bagi mengawal selia dan memastikan industri berkenaan berkembang dengan sihat dan lestari pada masa akan datang? 

Sedangkan di Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 untuk umat Islam sahaja dibantah keras PKR yang didalangi DAP. RUU Penternakan Babi 2016 pula diutamakan dan dibentangkan seta diluluskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP. 

Bagi sebuah negara yang berkependudukan 30.9 juta orang (perangkaan Julai 2016), sebanyak 50.1 peratus (15.5 juta orang) adalah daripada bangsa Melayu. Anehnya ladang penternakan babi menjadi satu industri dan sumber negeri terutamanya disumbang oleh dua negeri penyumbang utama Selangor dan Pulau Pinang?

Sudah lupakah kita kepada wabak Japanese Encephalitis yang melanda Kampung Sungai Nipah, Negeri Sembilan pada awal tahun 1999 yang mengakibatkan maut. Terdapat kajian yang dijalankan mendapati jangkitan JE pada darah haiwan ternakan dari sembilan buah negeri di Malaysia pada tahun 1993 yang mendapati, kebanyakan haiwan yang dijangkiti terdiri daripada babi dari Pulau Pinang. 

Di negara maju seperti Jepun, ladang penternakan babi dijalankan di kawasan yang jauh dari kawasan perumahan dan pendudukan manusia. Namun seperti kebiasaannya di Malaysia, babi diternak bersama ayam, itik serta berhampiran dengan sawah padi. 

Ladang-ladang penternakan babi di Pulau Pinang bukan sekadar risiko pembawaan virus JE, malahan terdapat di kawasan-kawasan perkampungan tradisi Melayu dan penempatan perumahan yang padat. Pada tahun 2014, dua orang kanak-kanak telah dijangkiti virus JE dan dirawat di hospital di Pulau Pinang. 

Terdapat lebih dari 150 buah ladang penternakan babi di Pulau Pinang dengan kelompokan terbesar sebanyak 77 buah ladang di Kampung Selamat, Pinang Tunggal, 50 buah ladang di Valdor, Sungai Bakap dan selebihnya di Gertak Sanggul dan Telok Kumbar, Bayan Lepas. Terdapat juga sebilangan ladang penternakan babi di sebelah Balik Pulau, Pulau Pinang.

Dari jumlah ladang tersebut, telah menghasilkan sebanyak 1,200 ekor babi sehari (sejumlah 438 ribu ekor babi) bagi permintaan dalaman negeri Pulau Pinang, sejumlah lagi untuk pasaran negeri-negeri lain dan selebihnya untuk diekspot ke luar negara. Jika dihentikan perladangan ini, maka terganggulah perbekalan kepada permintaan dalam negeri, kata Afif.

Menurut sumber lain, berikutan kelulusan RUU Babi 2016 ini, satu perladangan moden dan berteknologi tinggi akan dibangunkan di Jawi, Sungai Bakap; juga kawasan penempatan majoriti orang Melayu. Ketua Menteri Lim Guan Eng pula bercadang membuat pengambilan tanah di kawasan Malakoff, Tasek Gelugor yang bernilai RM1.2 billion. Kemungkinan besar ladang penternakan moden itu akan ditempatkan di sana?
pencemaran di Sungai Kereh, Tasek Gelugor
Malahan seorang wakil rakyat maklumkan telah membuat lawatan ke ladang babi di Kampong Selamat, Pinang Tunggal mendapati air kumbahan berwarna hitam kehitaman dilepaskan memasuki Sungai Kereh yang mengalir ke Tasek Gelugor dan Permatang Pauh, termasuk juga mengalir ke sawah padi seluas 351ha di kawasan sekitarnya (Kampung Tok Bedu, Kampung Air Melintas Kecil, Datuk Keramat, Tasek Gelugor dan Kampung Matahari Naik).

Kerajaan Negeri mengharapkan peruntukan dari Kerajaan Pusat bagi kerja pemeliharaan sumber air. Berapakah jumlah yang diperlukan? Mampukah penguatkuasaan yang serius dijalankan terhadap penternakan babi ini selepas RUU Peneternakan Babi 2016 (Pulau Pinang) diluluskan demi kesejahteraan rakyat?

Apakah tidak akan berlaku ulangan seperti yang dialami penduduk negeri Selangor, jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal mengawal selia dan menjamin air yang bersih untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang, lebih-lebih lagi bagi kegunaan umat Islam?

Pastinya lebih memalukan apabila seorang wakil rakyat Melayu Islam sanggup merendahkan maruah diri dan martabat Agamanya mempertahan dan membentang RUU Penternakan Babi 2016 (Pulau Pinang) untuk diluluskan melalui persidangan Dewan Undangan Negeri yang baru lalu.

No comments:

Post a Comment