Wednesday, December 28, 2016

KERUNTUHAN UMAT, JIKA TIDAK DIBENDUNG

Perbezaan pemikiran dan pendapat yang dipengaruhi emosi dan nafsu tanpa pimpinan menyebabkan manusia hidup dalam keadaan berpuak-puak dan berpecah-belah.

Dewasa ini, percakaran antara Melayu dengan Melayu. Islam sesama Islam semakin berlarutan umpama tanpa kesudahan.

Golongan cerdik Agama pun ada yang pantas menegur secara  terbuka di dada akhbar, menjemput aib dan fitnah berpanjangan.

Sedangkan mereka wajar menganjurkan kesepaduan dan kefahaman yang jelas Amar Maaruf Nahi Mungkar di antara mereka yang berbalah mengikut Al-Quran dan As Sunnah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:

وَإِن طَآٮِٕفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَہُمَا‌ۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَٮٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَـٰتِلُواْ ٱلَّتِى تَبۡغِى حَتَّىٰ تَفِىٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَہُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ 

Mafhumnya:

"Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sesungguhnya, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil." ~ Al-Quran, Surah 49 Al-Hujurat: ayat 9.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. pernah menjelaskan keutamaan mengurus perpecahan serta bahayanya jika dibiarkan sesuatu perpecahan dan pertelagahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu mahu aku beritahukan suatu perbuatan yang lebih utama daripada keutamaan puasa, sembahyang dan sedekah?
Mereka (sahabat) menjawab: Ya!
Maka Rasulullah SAW bersabda: Iaitu mendamaikan persengketaan yang sedang berlaku. Rosaknya hubungan persaudaraan kerana perpecahan seperti mencukur. Aku tidak bermaksud mencukur rambut, tetapi mencukur yang bermaksud merosakkan agama.” ~ Riwayat al-Tirmidzi dan Abu Dawud.

Oleh sebab itu, amat penting perpecahan di kalangan yang berbalah ditangani. Rumit? Namun ia mesti diusahakan untuk kembali tenang dan aman mentadbir jemaah dan masyarakat amnya.

No comments:

Post a Comment