Showing posts with label IbuBapa. Show all posts
Showing posts with label IbuBapa. Show all posts

Monday, January 26, 2015

Kenyataan Akhbar KPWKM Mengenai Merotan Anak

25 Januari 2015

KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

ROTAN SEHINGGA MENYEBABKAN KECEDERAAN FIZIKAL ATAU EMOSI KEPADA KANAK-KANAK

1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin merujuk kepada liputan media berkaitan tindakan merotan anak menjadi kesalahan jenayah yang disiarkan oleh akhbar pada hari ini (25 Januari 2015) berdasarkan sidang media pada 24 Januari 2015 di Shah Alam.

2. Dalam sidang media tersebut, YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi penerangan bahawa cadangan di dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu akan merangkumi perkara-perkara berikut:

i. Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC);
ii. Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);
iii. Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion; dan
iiii. Peruntukan baharu mengenai pelaksanaan deinstitutionalisation.

3. Pada masa ini seksyen 91 (1) (g) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah. Dalam hal ini, hukuman sebatan di Mahkamah adalah berbeza dengan hukuman merotan sama ada di sekolah atau rumah. Hukuman sebatan di Mahkamah dilakukan secara teratur mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang. Walau bagaimanapun, atas alasan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC Kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut.

4. Selaras dengan cadangan pemansuhan hukuman sebatan di Mahkamah tersebut, Kementerian telah meneliti perlakuan merotan kanak-kanak di kalangan masyarakat Malaysia. Pada masa ini, peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.

5. Perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah. Di bawah undang-undang sedia ada pun, sebenarnya perbuatan itu telah dijadikan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu atau kedua-duanya.

6. Kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi. Di samping itu, Kementerian juga mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus ke ibubapaan.

7. Selaras dengan amalan konsultasi dan engagement secara berterusan dengan semua stakeholders dan pihak berkepentingan, Kementerian ini akan meneruskan tradisi tersebut dalam penggubalan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak ini.  

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Aras 35, No. 55, Persiaran Perdana, Persint 4,
62100 Putrajaya.
No.tel: 03-8323 1087

Thursday, December 11, 2014

Renungkan Bersama

Alkisah sebuah rumah... renungan untuk semua dari sebuah paparan seorang Saudara.

Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi . Dia terus berleter,.
"Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak".

Mendengarkan kata-kata tangga, Atap terus bersuara.
"Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak".                 
                                                                                                                                                                    Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.
"Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak".           

Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.
"Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna".

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda.

Jadilah diri sendiri jangan cuba jadi orang lain.
Manusia hari ini suka bersangka-sangka

Ada baik sangka
Ada buruk sangka
Orang beribadah disangka riak
Orang rileks disangka malas
Orang berpakaian baru disangka menunjuk
Orang berpakaian buruk disangka hina
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sedikit disangka diet
Orang yang senyum disangka mengejek
Orang yang masam disangka merajuk
Orang berbincang disangka mengumpat
Orang yang diam disangka menyendiri
Orang yang menawan disangka menggoda
Orang yang ceria disangka mengada
Orang yang bertanya disangka menyibuk

Hakikatnya...
Mana tahu yang senyum itu kerana bersedekah
Mana tahu yang masam itu kerana mengenang dosa
Mana tahu yang berbincang itu memberi pendapat
Mana tahu yang diam itu kerana beribadah
Mana tahu yang menawan itu bersih wataknya
Mana tahu yang ceria itu cerdas mindanya
Mana tahu yang bertanya itu perihatin orangnya

Justeru itu….
Sesuatu perkara yang kita lihat
Jangan suka sangka-sangka
Sikap sangka-sangka akan memusnahkan jiwa
Kerap sangka-sangka mengundang celaka
Jangan terlalu bersangka-sangka
Jauhi sikap sangka-sangka...                                                                                                                                                                                                                                                                                                                        

************************************************