Showing posts with label Islamofobia. Show all posts
Showing posts with label Islamofobia. Show all posts

Wednesday, March 25, 2015

Peranan Pusat Kajian Pondok (PKP)

Pendidikan Agama amat berperanan di dalam melahirkan cendekiawan Islam yang mapan di dalam membelah gelora kehidupan semasa, tambahan pula diperhatikan dengan dasar langit terbuka yang bebas seringkali mengetuk dan merobek pintu-pintu kehidupan sederhana dan keamanan selama ini.
Lantaran itu, penubuhan Pusat Kajian Pondok yang dilancarkan berpusat di Kolej Universiti Isaniah (KUIN) Kedah oleh Yang Amat Berhormat Dato Seri Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak amat tepat dengan perlantikan YBhg Dato’ Dr Mashitah Ibrahim sebagai Pengarah  PKP yang pertama bagi mencetuskan konsep pondok moden bagi melahirkan golongan Ulama lantas menjadi pelapis kepada pendidikan Islam yang semasa.

Sistem pengajian pondok merupakan salah satu kaedah alternatif masyarakat Melayu di Malaysia menuntut ilmu di pelbagai peringkat usia. Pengajian pondok amat sinonim sebagai destinasi pengajian agama samada secara sepenuh masa atau pengisi matapelajaran Agama yang diperolehi di sekolah-sekolah kerajaan.

Tidak kurang pula di kalangan lebih usia yang menetap di pondok sebagai proses memperbaiki pembacaan Al-Quran dan mendalami ilmu agama. Malahan ada sesetengah pondok yang menyediakan perkhidmatan khusus seperti rawatan dan pemulihan dari najis dadah kepada masyarakat setempat.

Sehingga kini institusi pengajian pondok masih mendapat tempat di hati masyarakat Melayu-Islam. Maka tidak hairanlah dan kena pada masanya, keunikan sistem pengajian pondok dibentuk di dalam membentuk akhlak Muslim seperti yang dituntut agama.

Persoalannya, sejauh manakah pengajian pondok telah berjaya melahirkan Ulama? Apakah hambatan dan apa pula faktor-faktor yang menyumbang kepada kekuatan dan kelemahan pusat pengajian ini jikalau ditinjau dalam konteks sosio-ekonomi negara?

Justeru  itu, Pengarah PKP dilihat menyedari keadaan sebenar telah mengatur langkah awal, sebuah pusat pondok moden yang memberi perhatian dan minat yang mendalam di dalam masyarakat Melayu-Islam sebagai pemangkin dan memantau pendidikan Islam yang mampu melahirkan tokoh dan cendeiakawan Islam apalagi sebagai pelapis Ulama yang berdaya dinamis melayari cabaran masakini.

Pembangunan pondok yang dinamis perlu untuk memantapkan pendidikan Islam menyeluruh melibatkan antaranya aspek falsafah, sejarah, pengurusan dan pentadbiran, pengembangan kurikulum, penjanaan modal insan dan sumbangannya kepada jatidir umat Muslim Nusantara yang menelusuri aliran Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dasar globalisasi telah membuka pintu kepada cabaran-cabaran baru dan bertembung dengan fahaman Islam dan budaya masyarakat sebelumnya. Isu berkaitan dakyah Liberalisme, Pluralisme di antaranya turut mencetuskan bibit yang sengit dengan ideologi saintifik dan pasca moden.
Ajaran dan rujukan songsang yang tersebar secara meluas mempengaruhi golongan belia melalui medan sosial. Frasa-frasa yang “hip” dan semasa seperti ‘Oh My God, Thank God’, perayaan seperti Valentine’s Day, Halloween, Candlelight Vigil di antaranya bermain di bibir dan terjentik di nurani mereka.

Setelah fahaman Syiah menular, disambung pula Wahabbi. Kini ungkapan Jihad disesatkan sebagai ‘pengganas’ berikutan kefahaman dan amalan agama yang Islam yang longgar dan terikut dengan tanggapan media dan pimpinan barat kepada ‘Islamofobia’. Lebih teruk dan bagai mengiakan Islam itu keganasan, tercipta pula ‘Islamic State’ (IS).
 Segala keadaan sesungguhnya ada hikmah dan dengan izinNya. Pusat Kajian Pondok perlu dan bakal menumpukan perhatian yang serius dan mendalam bagi menyelami dan menrungkai kemelut Melayu-Islam.

Aktiviti persidangan, seminar, penerbitan mengenai hal-hal yang berkaitan melibatkan golongan Ulama sediada, cendiakawan, masyarakat umum adalah usaha yang baik bagi menyampai dan menjelaskan yang hak dan yang benar melalui jaringan pondok, kitab-kitab dan kepakaran luar dan dalam.


Pertanggungjawaban yang besar ini, digalas di bahu Dato’ Dr Mashitah, dengan penuh yakin mampu sebagai pemangkin dan pengerak dakwah yang berlandaskan Al-Quran dan As Sunnah yang dinantikan dengan penuh rasa bangga oleh komuniti Muslimin sebenar.

Monday, January 26, 2015

Budaya Anti Islam

Kita masih jahil walau sudah bertahun lamanya MERDEKA dari pengaruh penjajahan. Namun masih terbawa-bawa fahaman dan cara kehidupan lumrahnya Kristianiti di dalam institusi Islam.

Sepertimana penaklukan wilayah Cina oleh Barat dimulakan dengan Perang Candu. Kerana membimbangi pengaruh Komunisme; Negara Korea terbahagi dua sehingga hari ini. Jepun ditawan dengan kuasa sains yang hampir menghancurkan budayanya tapi resamnya sudah dimamah lama.

Negara-negara besar itu bangkit dari kemusnahan dan menjadi The Roaring Tigers di dalam ekonomi global, namun hakikatnya mereka didokongi kuasa Barat yang telah menghidupkan budaya Evangelist Christian. Malaysia dan negara-negara dari plateau yang sama tidak dapat menggelak dari asimilasi fahaman luar.

Happy Valentine disambut sedunia oleh pasangan yang masih atau mencuba berkasih sayang. Unsur kepercayaan oleh Saint Valentine sejak dari zaman pemerintahan Roman dan ditetapkan oleh Gereja Katholik hari peringatan setiap 14hb Februari. Berpusu-pusulah anak-anak muda tidak mahu ketinggalan. Si berusiapun tidak jauh di belakang membelikan bunga mawar/ros kepada yang disayangi atau dicintainya.

Sedang Islam melihatkannya sebagai fahaman yang songsang dan diamalkan oleh yang bukan mahram. Umum umat Islam mengetahui, fahaman sedemikian adalah haram, namun kerana tidak mahu dianggap Islam sebagai lapuk dan kolot atau kerana masih jahil, ramai yang tidak mengambil berat atau hanya menegur (selemahnya tindakan melarang perbuatan yang kufur).

Tanpa segan atau silu, perayaan Krismas atau lain-lain perayaan turut diraikan bersama. Bukan sahaja itu, ada perayaan Easter dan Halloween yang skemanya dengan pakaian keraian. 
Kita pernah dikejutkan dengan “Hello Kitty” seawal tahun 2000, hingga banyak pintu-pintu rumah Umat Islam dibuka menerima patung yang berupa haiwan ke dalam rumah kerana sayangkan anak-anak yang terikut dengan kegilaan semasa.

Dengan keterbukaan kepada budaya global, terjah pula “Animax”, sebuah lagi kesenian dari Negara Matahari Terbit; Jepun menghidangkan Adiwira dan Dewa di dalam bentuk kartun dan diselitkan pemandangan atau amulet berterapkan Kristian dengan watak perempuan dengan rupabentuk yang menggiurkan serta mendedahkan.

Masyarakat semasa bagaikan tidak pandang serius dengan pemakaian T shirt yang bercetak yang amat menjelekkan seperti “I Am A Star. A Pornstar”. Lagu-lagu Rock Metal, Goth, berunsur Gospel dan pelbagai hingga dinyanyikan di pelusuk kehidupan walaupun ramai yang berinteraksi dalam Bahas Inggeris dek peranan stesen-stesen radio dan media yang interaktif dengan garis panduan yang longgar, lesu serta mengizinkan untuk rating perniagaan.

Kesedudukan antara bukan Mahram semakin menjadi lumrah kehidupan. Kerana wang, sanggup menjadi Keldai Pemerdagangan Manusia dan Najis Dadah. Kelab-kelab sosial dibuka sehingga awal pagi dan disinggahi benih-benih yang tidak dikawal atau pendidikan akhlak yang dipandang enteng. Botol-botol arak bergelimpangan. Picugari berselerakan. Kondom-kondom dijual di pasaran dengan terbuka di pasaraya mahupun di kedai-kedai tepi jalan. Artis-artis luar negara bukan Islam kerap dijemput bagi mempromosikan sesuatu agenda atau dagangan.

Aurat lelaki dan wanita sudah jelas dilaksanakan. Jatuh hukumnya apabila sudah akhil baligh. Bukan sekadar aurat menutup kemaluan tapi rupa bentuk badan si pemunya. Menutup aurat bukan satu fesyen satu bahan atau cop intelek perniagaan. Menjaga aurat dan tingkah laku bukan sekadar luaran namun harus diikut dan disebatikan dari dalam seseorang insan apalagi beliau mengaku seorang Islam. 

Hari ini. tersebar desas-desus sebuah premis perniagaan "HOOTERS" dari Barat yang menggayakan pakaian mendedahkan akan beroperasi di bumi ini yang lazim dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan; Islam sebagai Agama Persekutuan.

Malunya sesama insan sudah tiada. Tidakkah malu kita dan kelu untuk mengadap Illahi nanti?

Islam TIDAK bersikap Anti Sosial. Bersosial dalam Islam dibolehkan namun perlu dipatuhi berdasarkan Al-Quran dan As Sunnah yang telah mengariskan panduan dan hukumannya. Islam bukan tanggungjawab yang diletakkan di tangan Penguasa tapi pertanggungjawaban semua ahli masyarakat yang mengaku umat Islam keseluruhannya. IbuBapa, ahli keluarga, jiran, kampung, bandar dan Qaryah. Pemimpin, pelaksana Undang-undang dan mereka yang dipimpin.

Pendekatan dan penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia yang diterajui oleh YBhg Datuk Dr. Marshitah adalah satu usaha yang wajib disokong masyarakat yang mengakui sebagai umat Islam lebih-lebih lagi dalam usaha menanggangi ketirisan Aqidah dan keImanan dewasa ini.

Melentur Buluh biarlah dari rebungnya. Walaupun sekeras Batu, dititis Air berlekuk jua.