Thursday, December 11, 2014

Peranan Ulama Yang Sebenarnya

Sabda Rasulullah s.a.w.

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسّكتُمْ ِبهِمَا كتابُ الله وَسنَّةُ رسُوْلِهِ

Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang teguh dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu Kitabullah (Al Quran) dan sunnah RasulNya (Al Hadith)".

Ulama adalah hamba Allah s.w.t yang terpilih sebagai pakar dalam pelbagai bidang keilmuan dan mereka adalah pewaris para Nabi-nabi yang layak menerima pusaka yang telah ditinggalkan. Khazanah agung yang tidak ternilainya ini bukan untuk calang diwarisi orang kebiasaan, apatah lagi orang yang jahil yang kurang ilmu pengetahuannya. Khazanah tersebut yang boleh dijadikan saham untuk pelaburan yang sangat menguntungkan masyarakatnya dan tidak akan rugi buat selama-lamanya. Khazanah itu adalah ilmu pengetahuan yang diwarisi dan dipusakai sejak turun-temurun daripada para Nabi-nabi, (ilmu yang menyampaikan diri kepada ma'rifatullah) - mengenal Allah, sebagaimana yang terkandung dalam Al Quran dan As Sunnah Nabi s.a.w.

Setelah wafatnya Nabi s.a.w.; Baginda hanya meninggalkan Al Quran dan As Sunnah (perjalanan hidupnya) sebagai khazanah untuk diwarisi oleh para sahabat r.a.  Generasi para sahabat Rasullullah s.a.w, pastinya silih berganti. Di sini lahirlah pula golongan yang mengambilalih tanggungjawab ke atas khazanah agung itu bukan sahaja berjaya menghafaz Al Quran dan Al Hadith, tetapi juga berjaya menguasai ilmu-ilmu yang terdapat di dalam kedua-dua sumber tersebut yang menghasilkan segala bentuk ilmu. Maka tanggungjawab mewarisi peninggalan Nabi s.a.w. terletak di atas bahu para Ulama untuk meneruskan tugas membangunkan agama dan menyebarkan syiar agama kepada seluruh masyarakat.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ

Maksudnya: "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama)".
Al Quran, Surah 35; Fathir: ayat 28.

Inilah penghormatan yang diberikan Allah s.w.t kepada golongan ulama yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas di dalam mengendalikan urusan agama. Sebagai pewaris para Anbiya, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

اَلْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ اْلأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوْرَثُوْا دِيْنَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَثُوْا اْلعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظِّ وَافِرٍ

Maksudnya: "Sesungguhnya Ulama ialah pewaris para Nabi-nabi, mereka tidak sekali-kali mewarisi dinar dan dirham, akan tetapi mereka mewarisi ilmu pengetahuan. Sesiapa yang mengambilnya, nescaya mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda".
Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi.

Para Ulama berperanan mewarisi ilmu pengetahuan yang ditinggalkan para Rasul dan menggalas tanggungjawab sama seperti Rasul-rasul. Pastinya mereka mempunyai sifat "As Siddiq"; yang membenarkan risalah ketuhanan untuk dibawa ke dalam masyarakat, bersifat "Al Amanah" dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab di jalan Allah, bersifat "At Tabligh" di dalam mendakwah kepada masyarakat dan sifat "Al Fatonah"; kepintaran dan kebijaksanaan apabila menghadapi suasana dalam kehidupan dan menyelesaikan kemelut permasalahan.

Kelebihan pengetahuan yang tinggi; seseorang Ulama itu juga adalah terdiri dalam kalangan hamba Allah s.w.t. yang mempunyai maruah dengan pekerti hidup yang indah, Mempunyai keperibadian yang luhur sebagai seorang hamba yang soleh dan berjaya kekalkan tabiat hidup yang berakhlak, bermoral dan penuh dengan peradaban, mempunyai nilai-nilai kesopanan hidup yang penuh dengan etika dan kesusilaan. Merekalah yang menjadi ikutan dan teladan yang amat berguna dan penuh bermakna kepada setiap anggota masyarakat untuk menarik minat mereka dan memandu mereka ke jalan yang benar dalam ertikata lainnya; seorang Ulama adalah "ikon" masyarakat.

No comments:

Post a Comment