Allah swt telah
mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan RasulNya dan menurunkan kitab
al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga
kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah swt kepada RasulNya ini dipenuhi
mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang
lain. Ianya juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan
kebenaran serta kitab kecemerlangan.
Firman Allah swt di
dalam Surah al Israa’ ayat 9:
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ
يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ
الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
Maksudnya:
“Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi
berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih,
bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ”
Imam al-Qurtubi
dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa
kalimah aqwam bermaksud
jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan
al-Quran sebagai sumber rujukan, akan membuahkan kesejahteraan dan
kecemerlangan. Justeru itu, bagi mengekalkan al-Quran dalam kehidupan kita
ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi
kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap ummat Muslim.
Firman Allah swt
dalam Surah al-Hijr ayat 9:
إِنَّا نَحْنُ
نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara
dan menjaganya.”
Al-Quran sebagai
sumbernya telah mengubah pola kehidupan sehingga berjaya membina tamadun yang
gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak lain dituntas
al-Quran. Oleh kerana itu, kita Atas sebab itu, sebagai umat Islam yang ingin
mencipta kejayaan samada dari apa sudut sekalipun hendaklah menjadikan al-Quran
sebagai kunci kejayaan. Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh,
menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi, rajin
berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka
bertadabbur memahami al-Quran dan beramal dengannya.
Kecemerlangan
al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata bahkan dari
sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi oleh orang Islam, bahkan
ia juga dikagumi oleh orang bukan Islam. Sebagai contoh Dr Gary Miller
adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang teologi
agama Kristian. Pada tahun 1978 beliau dihadiahkan sebuah al-Quran
terjemahan dalam bahasa Inggeris, selepas membaca terjemahannya dan memahami
lantas beliau memeluk Islam. Begitu juga Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar
bedah terkenal di Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Bible
dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata: “Tidak dapat sebarang
percanggahan antara al-Quran dan ilmu-ilmu moden berhubung asal usul kejadian
alam. ”
Sebagai umat yang
beriman amat wajar al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama
dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak;
khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai
kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Namun persoalannya
pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah
dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut
ayat-ayat Allah swt dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka
lebih gemar mengalungkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan
berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya
berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai
hiasan. Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sebagai “kitab berkat”, Mereka
membaca al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu, maka
dibacanyalah beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah
rezeki, mencepatkan jodoh dan lain-lain tujuan tertentu.
Marilah sama-sama
kita menjadikan budaya al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa
al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan penawar
kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda
masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada perkara
perkara tertentu sahaja atau membacanya pada masa-masa tertentu seperti ketika
dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian ataupun pada
hari tertentu.
Firman Allah swt di
dalam Surah al Furqan ayat 30:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا
رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Maksudnya: “Dan
berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an
ini satu yang tidak diacuhkan, diabaikan.”
Beberapa pandangan
ulama’ mendapati ada 3 golongan manusia yang mengabaikan al-Quran.
Pertama: mereka yang
mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari membacanya.
Kedua: mereka yang
mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya
serta memahami maksud al-Quran dan
Ketiga: mereka yang
mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka
membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca
tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya.
Sekali lagi marilah
sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga
dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan
penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan
memperuntukkan masa seperti selepas Solat Maghrib sebagai waktu membaca,
mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar
anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas
yang telah disediakan.
Di samping itu
mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di
radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya. Terangilah hati kita
dengan memahami isi al-Quran, dan teguhkanlah keimanan dengan beramal dengan
isi kandungannya. Yakinlah bahawa al-Quran yang memberi petunjuk ke arah
kecemerlangan hidup dunia dan akhirat.
Ingatlah sabda Nabi
s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf dari
al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi
kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan ( alif, lam, mim ) itu satu huruf,
akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.
Hadis Riwayat At Tirmizi.
Renungi firman Allah
swt dalam surah al-Israa ayat 45:
وَإِذَا قَرَأْتَ
الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ
حِجَابًا مَّسْتُورًا
Maksudnya: “Dan
apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak
beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”
No comments:
Post a Comment