Showing posts with label Al Quran. Show all posts
Showing posts with label Al Quran. Show all posts

Monday, December 26, 2016

Sebarkanlah Salam Kasih Sayang

Sesungguhnya, manusia dilahirkan dengan pelbagai ragam, itulah tanda kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu wa Ta'ala. AllahuAkbar! 

Rambut sama hitam, tapi soal hatinya tidak sama sekali. 
Hati dicipta, Allah untuk makhlukNya yang sempurna dengan fitrahnya berperasaan. Kebesaran itu harusnya disemai keimanan. 

Seharusnya kita bijak di dalam perhubungan sosial. Tiada seorang insan di dunia suka jika hatinya dilukai atau terguris. 

Tanyalah diri sendiri, jika enggan disakiti hatinya, mengapa, kenapa dan bagaimana perasaan orang yang kita lukai?


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.” ~ Al Quran, 51 Surah Adz-Dzariyaat; ayat 56

Dan Allah S.W.T. menyindir kita dengan pertanyaan,


أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” ~ Al Quran, 23 Surah Al Mukminun; ayat 115 
Anugerah atau kuasa dunia Fana, bukanlah keistimewaan atau pengecualian dan kebebasan melukakan hati orang lain.

Monday, January 19, 2015

Memahami Maqasid Syariah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Didahulukan dengan Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti pesanan Baginda hingga ke hari Kiamat.

Dewasa ini Islam kerap menjadi topik perdebatan dan persoalan negatif di kalangan anggota masyarakat dilontarkan dari kota minda mereka walaupun dalam kekurangan ilmu apalagi mereka mendakwa  penyuluh Agama namun begitu daif mengukuhkan. Islam adalah mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman yang diakui sebagai “The Way of Life” atau Ad Deen.

Wahyu yang diturunkan Allah S.W.T melalui al- Quran dan dihuraikan oleh as-Sunnah oleh Baginda Rasullullah SAW adalah landasan yang tepat dan jelas di dalam meniti kehidupan di alam Fana menuju ke Jannah. Berzaman lamanya sedari kemunculan Islam sehingga kini terus menggungguli rupabentuk peradaban manusia. Agama Islam amat bersifat dinamik dengan objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat akan pertanggungjawabannya sesama insan, makhluk lain, alam semesta dan kepada Allah S.W.T; Tuhan Maha Agung Lagi Mengetahui dan Mengasihani.

Apa yang dimaksudkan “Maqasid Syariah”?
Secara literalnya, “Maqasid” membawa pengertian kepada – kehendak, matlamat atau tujuan. Sebagai mewujudkan kebaikan (manafaah) dan menolak keburukan serta menghilangkan kemudaratan (mafsadah).
Manakala “Syariah” – adalah syariat Islam atau syariat Allah S.W.T.

Sayugia itu, Maqasid Syariah membawa pengertian kepada tujuan atau maksud  mengapa Allah S.W.T menurunkan sesuatu hukum. Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu ibadah. Dalam konteks ini Maqasid Syariah atau juga dikenali sebagai Maqasid Al-Syariah bermaksud tujuan, natijah atau maksud yang dikehendakki oleh syarak melalui sumber dalilnya menurut Al-Quran dan Al-Sunnah.


Di dalam Qanun Jinayah Syar'iyyah terdapat 4 jenis hukum iaitu hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:

1. Menjaga agama.
2. Menjaga nyawa.
3. Menjaga akal fikiran.
4. Menjaga keturunan.
5. Menjaga harta benda.

Huraiannya :

1. Menjaga agama
Perkara pokok perundangan Islam adalah memelihara Aqidah orang-orang Islam agar tidak terpesong atau tersimpang dari akidah yang sebenar dan menjadi murtad. Islam begitu prihatin dan mengasihani walaupun seseorang itu murtad akan diajak bertaubat terlebih dahulu. Namun masih engkar bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia."

Hadis Riwayat Bukhari

2. Menjaga nyawa
Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atau dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman Qisas (hukuman bunuh) atau Diyat (penalti mengikut Undang-undang Syariah) .

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاْ أُولِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Firman Allah SWT. yang bermaksud: "Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa."

Al Quran: Surah 2, al-Baqarah ayat 179

3. Menjaga akal fikiran
Akal yang jelas dan bersih amat ditekankan dalam Islam. Menjauhkan diri dari terpengaruh dengan meminum arak atau sebarang elemen yang memabukkan atau mengkhayalkan secara terusnya merosakkan dan tidak mampu mengawal atau  memelihara akal fikiran manusia. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebatan sebagaimana yang telah diriwayatkan.

Saaib bin Yazid r.a berkata : " Apabila peminum arak dibawakan kepada kami pada zaman Rasulullah SAW, zaman pemerintahan Abu Bakar dan permulaan zaman Umar al-Khattab, kami memukulnya dengan tangan , kasut dan serban. Di akhir pemerintahan Umar, mereka dirotan sebanyak 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali."
Hadis Riwayat Bukhari : 6281

4. Menjaga keturunan
Menjaga keturunan iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan dengan langsungnya telah mungkar dan menyebabkan salasilah keturunan dicemari maka wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud: "Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam."

Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud

5. Menjaga harta benda
Harta benda manusia perlu dijaga dan dipelihara haknya dari perlakuan kecurian dan ATAU rompakan dengan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini juga tertakluk kepada cara rompakan atau jenayah itu dilakukan.

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُواْ أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Al Quran, Surah: 5, Al-Maidah ayat 38

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُواْ أَوْ يُصَلَّبُواْ أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلافٍ أَوْ يُنفَوْاْ مِنَ الأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ 

Firman Allah S.W.T lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar."

Al Quran, Surah: 5, Al-Maidah ayat 33

Dari itu kefahaman konsep “Maqasid Syariah” yang betul serta meyakini bahawa setiap hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada hambaNya dimuka bumi adalah sebaik-baik peraturan. Tujuan Allah S.W.T menghalal ataupun mengharamkan sesuatu perkara adalah mengandungi sebab musabab yang munasabah dan sesuai dengan fikiran yang waras dan fitrah manusia.

Terlalu banyak penemuan sains dan kajian manusia didapati bahawa setiap sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T mempunyai alasan yang kukuh dan bersesuaian dengan kesihatan dan jiwa manusia. Contohnya daging babi diharamkan di sebabkan terdapat banyak keburukannya, penyelidikan barat turut mengesahkan di dalam daging Khinzir mengandungi cacing pita yang merbahaya untuk kesihatan diri manusia dan hikmah pengharaman daging babi kerana adanya cacing pita.

Firman Allah S.W.T, dalam Al-Quran di antaranya:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلاَ عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu),, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al Quran: Surah 2, al-Baqarah ayat 173

Diperkuatkan lagi dengan FirmanNya yang berikut:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَن يَكْفُرْ بِالإِيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya : “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi).”

Al Quran, Surah: 5, Al-Maidah ayat 3

Masyarakat kita semakin dikelirukan kumpulan yang anti hukum Hudud dengan dakwaan yang bersifat negatif hingga menambahkan kegusaran tidak bertempat sekadar ditanam penjelasan logik dengan; tanggapan buruk dunia terhadap Malaysia, kehilangan pekerjaan, kehilangan punca pendapatan dari pelancung luar negara malah dari dalam negara, huru hara dan sebagainya.

Realitinya mereka yang befahaman secular dan logik akal tidak pernah memandang positif pelaksanaan Hudud di Arab Saudi (http://www2.bharian.com.my/articles/Peguammuslimmenulis_Undang-undangsyariahgerunkanpenjenayah/Article/cetak); kadar jenayah di Arab Saudi terlalu rendah (http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/27754-tidak-adil-menilai-hudud-ikut-global-peace-index) berbanding Malaysia (http://www.sinarharian.com.my/semasa/jenayah-melonjak-20-000-kes-dalam-60-hari-1.257252) yang mana kadar jenayah mencuri, pecah rumah, merompak, menyamun bersenjata, ragut antaranya berada di tahap yang cukup membimbangkan, lebih-lebih lagi di dalam masyarakat majmuk kini.

Penerapan dan pengukuhan menurut Syariah dilihat satu ibadah yang kian luntur di kalangan umat Islam, maka benarlah langkah-langkah yang diambil oleh YBhg Datuk Dr Marshitah di dalam penghujahan dan pendedahan beliau.

Fakta dan mesej yang jelas tidak dapat disangkal barangsiapapun, angkara perbuatan jenayah tidak mengenal mangsa; Agama, fahaman politik, jantina, darjat mahupun taraf kehidupan. Justeru itu, segala sifat-sifat keburukan telahpun disebut dan dinasihatkan dijauhi berkali-kali.

Tiada satu Agama yang dianuti mana-mana kaum dan Bangsa menggalak atau menghalalkan jenayah. Namun kerana desakan untuk menyesat dan memudahkan aturcara dan niat sesetengah pemimpin yang terdesak dan gelap hati, menggunapakai alasan dan kaedah dengan sokongan penyokongnya menggaburi ramai akan niat jahat mereka itu.

Jenayah merompak dan ragut, merogol, bersekedudukan dan banyak lagi hanya mengakibatkan kerugian kepada Negara dan penduduk, mana lagi impaknya kepada Umat Islam. Kerugian tidak sahaja dari sudut “tangible” nilaian jutaan Ringgit Malaysia tetapi lebih teruk lagi akhlak dan mentaliti ahli masyarakat. Andaipun penjenayah berjaya dipenjarakan, mereka akan diberikan makan dan minum percuma dan bila tamat tempoh tahanan mereka boleh mengulangi tabiat buruk mengambil harta orang lain. Oleh itu semua umat Islam perlu yakin terhadap undang-undang Allah S.W.T kerana ianya bersangkut paut dengan persoalan Aqidah dan kepercayaan kepada kitab suci al-Quran nul karim.

Wallahu a'lam bishawab

Thursday, January 08, 2015

Nikmat dan Rahmah Illahi Dalam Kehidupan

Allah swt telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan RasulNya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah swt kepada RasulNya ini dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Ianya juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta kitab kecemerlangan. 

Firman Allah swt di dalam Surah al Israa’ ayat 9:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ”

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, akan membuahkan kesejahteraan dan kecemerlangan. Justeru itu, bagi mengekalkan al-Quran dalam kehidupan kita ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap ummat Muslim. 

Firman Allah swt dalam Surah al-Hijr ayat 9:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” 

Al-Quran sebagai sumbernya telah mengubah pola kehidupan sehingga berjaya membina tamadun yang gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak lain dituntas al-Quran. Oleh kerana itu, kita Atas sebab itu, sebagai umat Islam yang ingin mencipta kejayaan samada dari apa sudut sekalipun hendaklah menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan. Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi,  rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur  memahami al-Quran dan beramal dengannya.

Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi oleh orang Islam, bahkan  ia juga dikagumi oleh orang bukan Islam. Sebagai contoh Dr Gary Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang teologi agama Kristian. Pada tahun 1978  beliau dihadiahkan sebuah al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris, selepas membaca terjemahannya dan memahami lantas beliau memeluk Islam. Begitu juga Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Bible dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata: “Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran dan ilmu-ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam. ”

Sebagai umat yang beriman amat wajar al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak; khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.  Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya  untuk menyebut ayat-ayat Allah swt dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalungkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan. Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sebagai “kitab berkat”, Mereka membaca al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu, maka dibacanyalah beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah rezeki, mencepatkan jodoh dan lain-lain tujuan tertentu.

Marilah sama-sama kita menjadikan budaya al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada perkara perkara tertentu sahaja atau membacanya pada masa-masa tertentu seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian ataupun pada hari tertentu. 

Firman Allah swt di dalam Surah al Furqan ayat 30:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Maksudnya: “Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu yang tidak diacuhkan, diabaikan.”


Beberapa pandangan ulama’ mendapati ada 3 golongan manusia yang mengabaikan al-Quran. 
Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari membacanya. 
Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya serta memahami maksud al-Quran dan 
Ketiga: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya.

Sekali lagi marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas Solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan.

Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya. Terangilah hati kita dengan memahami isi al-Quran, dan teguhkanlah keimanan dengan beramal dengan isi kandungannya. Yakinlah bahawa al-Quran yang memberi petunjuk ke arah kecemerlangan hidup dunia dan akhirat. 

Ingatlah sabda Nabi  s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan ( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.

Hadis Riwayat At Tirmizi. 

Renungi firman Allah swt dalam surah al-Israa ayat 45:

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ حِجَابًا مَّسْتُورًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”