Thursday, July 30, 2015

Resolusi Untuk Tribunal MH17 ke Majlis Keselamatan PBB

 Hari ini, 29hb Julai setelah lebih setahun tragedi MH17, Majlis Keselamatan PBB dijadualkan mengundi mengenai cadangan untuk menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa untuk mendakwa suspek yang telah menembak jatuh pesawat malang MH17 ke pengadilan. Cadangan ini telah dikemukakan oleh Belanda, Belgium, Australia, Malaysia dan Ukraine. Bagaimana pun adalah dijangkakan Rusia akan menggunakan kuasa 'Veto' dari pembentukan usaha itu.

Dakwa Rusia, Majlis Keselamatan PBB tidak mempunyai kuasa kehakiman dan oleh itu tidak boleh mewakilkan kuasa itu kepada sesebuah 'tribunal' terutama dengan alasan Belanda yang mengepalai penyiasatan tidak lagi mengemukakan sebarang penemuan yang 'substantial' dan tidak disangkal. Tambahan pula, Rusia khuatir usaha Amsterdam akan diputar-belit oleh Amerika Syarikat, Perancis dan Britain dari kebenaran yang sebenar dengan maksud tertentu.

Walauapa pun bagi Malaysia menerusi Dato' Sri Liow Tiong Lai, selaku Menteri Pengangkutannya bersama empat buah lagi negara anggota Pasukan Siasatan Bersama (JIT) iaitu Belgium, Australia, Belanda dan Ukraine akan cuba sedaya upaya mengesa siasatan yang menyeluruh dan bebas mengikut garis panduan penerbangan awam antarabangsa.

Berikut adalah siaran kenyataan Kementerian Pengangkutan.

Rabu, 29 Julai 2015
UNTUK SIARAN SEGERA


KENYATAAN AKHBAR OLEH 
YB DATO' SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN

Malaysia Bentang Resolusi Bagi Tribunal MH17
Di Majlis Keselamatan PBB 

Saya akan mewakili negara di New York pada hari Rabu, 29 Julai 2015, di mana Malaysia bersama-sama dengan empat lagi anggota Pasukan Siasatan Bersama (JIT) untuk MH17 iaitu Belgium, Australia, Belanda dan Ukraine akan berusaha bagi mendapatkan sokongan dari kesemua ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa khusus untuk MH17.

Hampir setahun yang lalu, Majlis Keselamatan ini telah sebulat suara untuk menerima pakai Resolusi 2166 secara konsensus beberapa hari selepas insiden malang tragedi MH17. Majlis ini juga telah mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut dan menggesa siasatan antarabangsa yang menyeluruh dan bebas mengikut garis panduan penerbangan awam antarabangsa.

Resolusi tersebut juga turut menyeru semua Negara anggota untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan antarabangsa dan menuntut mereka yang bertanggungjawab dalam insiden ini ke muka pengadilan.

Sekali lagi, kita berada di fasa penting dalam usaha berterusan Negara menyeru Majlis Keselamatan PBB ini supaya mengotakan ikrar dan janji mereka untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab dalam insiden MH17 agar perkara ini dapat dibawa ke muka pengadilan. Dalam hal ini, penubuhan satu tribunal jenayah antarabangsa ad hoc adalah amat wajar dan perlu dilakukan.

Masyarakat dunia, khususnya rakyat Malaysia akan terus meratapi kehilangan 298 nyawa yang tidak berdosa dalam tragedi malang ini. Malaysia kekal komited dan fokus dalam menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab bagi tragedi ini menerima hukuman yang setimpal.

No comments:

Post a Comment