Sunday, July 05, 2015

Sikap Acuh Tak Acuh Banyak Kerugiannya

“Dalam lima buah teksi, hanya satu sahaja yang pemandunya berhemah, tidak mengeluarkan kata-kata kesat, keretanya bersih serta menggunakan meter. Yang selebihnya sangat teruk dengan bau tidak menyenangkan dalam kenderaan, cara pemanduan yang gopoh, suka memaki jika ada insiden yang tidak memuaskan hati dan tidak menggunakan meter,” begitulah di antara yang dapat dipetik pandangan dari pengguna perkhidmatan teksi di Kotaraya Kuala Lumpur yang juga pengguna laman media sosial; Facebook.

Begitulah antara kekecewaan para pengguna khidmat teksi yang rata-rata tidak bersikap profesional semasa membawa penumpang. Kekerapan penumpang terpaksa berdepan dengan pemandu-pemandu teksi yang sudah sepakat untuk tidak menggunakan meter, atau mengguna bahasa pasar dengan penumpang, serta melengah-lengahkan perjalanan terutama di tempat tum­puan seperti pusat beli-belah Pavilion dan Suria KLCC. Keadaan sedemikian memaksa bakal penumpang akur kepada golongan pemandu teksi yang keras kepala dan bersahaja dengan alasan mereka. 

Baru-baru ini, laman web LondonCabs.co.uk telah mengeluarkan ranking menamakan Kuala Lumpur di kedudukan teratas antara 10 bandar raya yang mempunyai pemandu teksi paling teruk. Tidak dapat dinafikan dengan sikap pemandu-teksi di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur, tabiat suka berlengah dan gemar mengenakan caj melampau serta biadap ini satu tempelak usaha memartabat dan memulihkan industri teksi secara amnya.

YABhg Tan Sri Dato' Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berasa amat kesal dengan sikap sesetengah pemandu teksi yang kental dan degil dengan sikap yang merugikan industri teksi secara keseluruhannya. Pelbagai usaha kerjasama dalam usaha penambahbaikan dengan persatuan pemandu teksi seperti penjenamaan, latihan dan menangani aduan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan teksi umpama "mencurah air ke daun keladi" 

 "Kita tahu berkenaan kedudukan yang buruk ini. Sebab itu kita adakan penjenamaan baharu, dari teksi lama ditukar kepada TEKS1M. Kita juga adakan teksi eksekutif, limosin dan memberi latihan mesra penumpang kepada mereka. Kita juga menaikkan kadar tambang dan yang terakhir ialah MeterOn app di mana penumpang boleh buat laporan pada SPAD. Tapi yang penting ialah pemandu sendiri mesti berubah sikap," katanya di dalam satu temu bicara.

Sejajar dengan laporan yang didedahkan tersebut, semua pihak perlu mengambilnya secara positif untuk berasa malu dan berubah sikap serta sama-sama menjaga imej pemandu teksi negara ini. Segalanya usaha yang dilakukan tidak akan berjaya jika sikap dan kelakuan sesetengah pemandu teksi tidak berubah dan masih ditakuk lama, akan terus dipandang serong oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Jangan tudingkan jari ke hadapan sedang tiga jari berpatah balik kepada si pengaju. Ruginya nanti turut dirasai pemandu teksi yang engkar dan enggan berubah. Orang yang berbohong tidak akan bebas, kerana terbelenggu dengan pembohongannya.

No comments:

Post a Comment